Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melantik tokoh ekonomi terkemuka Asia, Tan Sri Andrew Sheng, sebagai penasihat khas beliau.
Hajiji berkata, pengalaman luas serta kredibiliti tinggi Sheng dalam bidang kewangan dan perbankan antarabangsa akan menjadi aset penting kepada negeri Sabah.
“Kita menantikan sumbangan beliau khususnya dalam memperkukuh sektor ekonomi dan pelaburan negeri,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Sheng di kediaman rasmi Sri Gaya.
Berpangkalan di Hong Kong, Sheng yang merupakan rakyat Malaysia dan membesar di Sabah pada awal 1960-an, memiliki rekod cemerlang dengan memegang pelbagai jawatan penting dalam institusi perbankan dan pelaburan di peringkat Asia dan global.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Ahli Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Monetari Hong Kong, Pengurus Kanan Bank Dunia serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.
Kini, beliau merupakan profesor khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen), selain menganggotai majlis penasihat antarabangsa bagi beberapa institusi kewangan utama China, termasuk Pentadbiran Kawal Selia Kewangan Nasional (NFRA), Suruhanjaya Kawal Selia Sekuriti China (CSRC) dan China Investment Corporation (CIC).
Pada April 2013, majalah TIME menamakan beliau sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia.

LANTIKAN… Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) menyampaikan surat pelantikan kepada Tan Sri Andrew Sheng di Sri Gaya.






