Oleh FARDY BUNGGA
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas isirung kelapa sawit dianggarkan bernilai RM709,000 selepas dipercayai disimpan tanpa lesen dalam operasi serbuan di Jalan POIC, di sini, semalam.
Dalam operasi berkenaan, dua lelaki berusia 35 dan 54 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata serbuan dilakukan Unit Risikan Marin hasil risikan dan pemantauan di sebuah premis tidak bernombor.
Katanya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan kira-kira 52 tan metrik isirung kelapa sawit yang dipercayai disimpan tanpa lesen sah.
“Pasukan operasi turut merampas sebuah lori treler Nissan Diesel, dua jentera Caterpillar serta alat sukat bersama kelengkapannya.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM709,000,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
Katanya, semua barang rampasan akan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 14 kes mengikut akta berkenaan, membabitkan 27 tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan RM9.35 juta.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang serta melindungi kepentingan ekonomi negara,” katanya.

PPM turut merampas sebuah lori treler dan dua jentera yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Kira-kira 52 tan metrik isirung kelapa sawit dipercayai disimpan tanpa lesen sah.







