Bagi petani pendalaman guna kenderaan ‘Jipang’ – Dr. Rockey
TAMBUNAN: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tambunan, Dr. Rockey Jerome Budin, menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menilai semula pelaksanaan Budi Madani Diesel di Sabah dengan mengambil kira realiti kehidupan masyarakat pedalaman, khususnya para petani yang bergantung kepada kenderaan lama jenis ‘Jipang’ untuk menjalankan aktiviti pertanian.
Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk melaksanakan subsidi diesel secara bersasar bagi membanteras ketirisan merupakan langkah yang baik dan wajar disokong.
Namun begitu, pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan geografi, infrastruktur serta corak kehidupan masyarakat luar bandar di Sabah yang jauh berbeza daripada Semenanjung Malaysia.
Menurut Dr. Rockey, di kawasan pedalaman seperti Tambunan, Keningau, Nabawan, Sook dan Pensiangan, kenderaan Jipang bukanlah satu simbol kemewahan, sebaliknya merupakan aset penting yang digunakan oleh para petani untuk mengangkut baja, racun, benih, peralatan serta hasil pertanian melalui jalan-jalan kebun yang berbukit, berlumpur dan sukar dilalui oleh kenderaan biasa.
“Kenderaan ini telah digunakan sejak sekian lama dan menjadi nadi kepada aktiviti pertanian di pedalaman.
“Tanpanya, ramai petani tidak mampu mengusahakan kebun mereka dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian daripada kenderaan tersebut tidak lagi mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa kerana hanya digunakan di kawasan kebun atau laluan pertanian, dan bukan sebagai kenderaan harian di jalan raya awam.
“Keadaan ini menyebabkan sebahagian petani menghadapi kesukaran untuk menikmati manfaat di bawah mekanisme Budi Madani mengikut syarat sedia ada.
“Akibatnya, mereka terpaksa membeli diesel pada harga pasaran, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran pertanian dan menjejaskan pendapatan mereka.
Dr. Rockey menegaskan bahawa golongan petani di pedalaman menggunakan diesel bukan untuk tujuan kemewahan, tetapi sebagai keperluan asas bagi mencari rezeki dan memastikan bekalan makanan negara terus dihasilkan.
Selain itu, beliau turut membangkitkan satu lagi cabaran besar yang dihadapi oleh masyarakat pedalaman Sabah, iaitu akses yang terhad kepada stesen minyak.
“Pelaksanaan Budi Madani juga perlu mengambil kira faktor geografi Sabah. Ramai penduduk di kawasan pedalaman terpaksa menempuh perjalanan yang jauh kerana stesen minyak hanya terdapat di pekan-pekan utama.
“Dalam sesetengah keadaan, penggunaan diesel untuk perjalanan pergi dan balik ke stesen minyak sudah pun menggunakan sebahagian besar bahan api yang dibeli.
Menurut beliau, keadaan tersebut amat berbeza dengan Semenanjung Malaysia yang mempunyai rangkaian stesen minyak yang lebih padat dan mudah diakses.
“Di Semenanjung, pengguna boleh menemui stesen minyak pada jarak yang lebih dekat di kebanyakan kawasan.
“Namun di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman, ada penduduk yang perlu memandu berpuluh-puluh kilometer semata-mata untuk mendapatkan bekalan diesel. Perbezaan ini wajar diberi perhatian dalam pelaksanaan sesuatu dasar yang melibatkan subsidi bahan api.
Sehubungan itu, Dr. Rockey mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan beberapa penambahbaikan, antaranya mewujudkan mekanisme khas Budi Madani bagi Sabah, menilai semula syarat kelayakan untuk petani yang menggunakan kenderaan ‘Jipang’ bagi tujuan pertanian, memperluaskan saluran permohonan di kawasan luar bandar serta mengambil kira faktor jarak, keadaan jalan raya dan akses kepada stesen minyak dalam menentukan pelaksanaan subsidi diesel di negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa dasar yang baik akan menjadi lebih berkesan apabila pelaksanaannya mengambil kira realiti kehidupan rakyat di lapangan.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat mendengar suara rakyat Sabah, khususnya para petani di pedalaman.
“Mereka tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya mahu dasar yang dilaksanakan mengambil kira cabaran sebenar yang mereka hadapi setiap hari.
“Saya percaya objektif kerajaan untuk membanteras ketirisan subsidi boleh dicapai tanpa mengabaikan kebajikan golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.-John Tambanan.

Dr Rockey





