Premis Judi Online Dikesan Beroperasi Dalam Tempoh PKP.

 


Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan lapan premis penjualan prabayar judi atas talian cuba beroperasi dengan berselindung disebalik perniagaan kedai runcit.

Semua lapan premis ini dipercayai ‘berdegil‘ menjalankan operasi untuk mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan mengisi masa lapang pemain judi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, semua premis berkenaan terus diarahkan tutup dan telah dirujuk kepada pihak polis.

Katanya, lapan premis yang dikesan membabitkan lima di sekitar Inanam dan masing-masing satu di Plaza Juta, Likas, Kingfisher dan Tanjung Aru serta di Telipok.

“Hasil rondaan DBKK hari ini mendapati beberapa premis menjual prabayar Judi Atas Talian “online gaming” masih cuba beroperasi walaupun telah diberi arahan tutup sebelum ini.

“Semua premis ini akan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Nordin berkata, pihak DBKK memohon kerjasama orang awam supaya mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan virus Covid-19 dan mematuhi PKP.

Tamat