Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Dua lelaki warganegara Pakistan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas cuba merasuah pegawai polis sebarang dorongan tidak mengambil tindakan terhadap mereka atas kesalahan memiliki rokok seludup.
Dalam kejadian jam 6.25 petang itu, kedua-dua lelaki terbabit ditahan sepasukan polis di kawasan Lido, Kepayan, di sini, bersama sejumlah rokok tanpa cukai pelbagai jenis.
Jurucakap SPRM Sabah dalam kenyataan medianya berkata, kedua-dua warga Pakistan berkenaan cuba memberi rasuah sebanyak RM500 dengan niat supaya dilepaskan pihak berkuasa.
Katanya, pegawai polis yang cuba disogok bagaimanapun tidak terpedaya dengan taktik suspek dan terus menahan suspek untuk tindakan selanjutnya.
“Kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
“Jika disabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, rokok yang dipercayai diseludup disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
“SPRM Sabah merakamkan syabas dan tahniah kepada PDRM Sabah yang berada barisan hadapan kerana ketegasan yang ditunjukkan terhadap penjenayah dan perasuah,”katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy mengesahkan tangkapan kes berkenaan.
Tamat





