Kedai Perabot Musnah Terbakar.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Litar pintas dipercayai punca sebuah kedai menjual perabot musnah terbakar dalam kejadian di pekan Donggongon, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, api dikatakan mula tercetus di bahagian stor yang menempatkan suis utama premis berkenaan.

Difahamkan, seorang daripada pekerja premis berkenaan cuba memadamkan api kebakaran mengguna alat pemadam api namun gagal selepas api marak dengan cepat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.07 sebelum mengerahkan enam jentera bersama 33 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian adalah dari Balai Bomba Penampang, Balai Bomba Lintas dan Balai Bomba Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak membakar dan meranapkan sebahagian besar daripada kedai perabot yang berkeluasan kira-kira 2,800 meter persegi itu.

“Operasi segera dimulakan untuk memadam kebakaran selain mengawal api dari terus merebak ke bangunan ,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 6.15 petang dan setakat sehingga jam 9 malam tadi, operasi memadam bara api masih diteruskan.

Katanya, pihak forensik JBPM juga sedang menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap JBPM berkata, pemilik premis memberitahu kedai berkenaan tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan 18 Mac lalu.

Katanya, ketika kejadian, hanya seorang saksi kejadian iaitu pekerja yang tinggal di premis berkenaan.

“Berdasarkan keterangan saksi, api bermula di stor premis berkenaan yang menempatkan suis utama.

“Saksi cuba memadam api menggunakan alat pemadam api namun gagal,”katanya.

Tamat