SESB LANCAR BILIK GERAKAN PERTANYAAN BIL ELEKTRIK

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bersedia untuk menerima pertanyaan pengguna mengenai bil dan diskaun menerusi bilik gerakan yang akan mula beroperasi pada 4 Mei ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan berkata, pengguna yang mempunyai pertanyaan mengenai pemberian diskaun boleh menghubungi bilik gerakan SESB melalui talian 088-222 313, 223 313 dan 224 313 atau melalui aplikasi whatsapp 019- 852 5427.

Selain itu katanya, pengguna juga boleh mengajukan pertanyaan melalui e-mel komersial@sesb.com.my.

“Bilik gerakan ini akan beroperasi pada waktu bekerja iaitu bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

“Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 852 5427 selepas waktu pejabat,”katanya dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan, hari ini.

Norhizami berkata, diskaun sebanyak 28 peratus akan diberikan Kerajaan Negeri Sabah berkuatkuasa 1 April hingga 30 Jun, manakala 2 peratus lagi adalah diskaun Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 1 April hingga 30 September 2020.

Katanya, pemberian diskaun sebanyak 30 peratus sepertimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah akan membabitkan seramai 500,000 pengguna domestik dengan bil bulanan RM500 ke bawah di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Walaubagaimanapun, bagi pengguna dengan bil bulanan melebihi jumlah RM500 akan hanya menikmati diskaun sebanyak 2 peratus bermula 1 April sehingga 30 September 2020.

“Pengguna komersil dan industri juga turut menikmati diskaun sebanyak 15 peratus dan ini melibatkan pengguna komersil dalam enam sektor pelancongan iaitu hotel, agensi pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan membabitkan sejumlah 900 pengguna komersil,” katanya.

Norhizami berkata, pengguna komersil dan industri daripada sektor yang lain pula akan menikmati diskaun sebanyak 2 peratus selama enam bulan dan ini memberi manfaat kepada lebih 99,000 pengguna.

“Sementara itu, sejumlah 16,000 pengguna di bawah program Rebat Elektrik RM40 akan terus menikmati manfaat daripada rebat tersebut.

“Diskaun bil elektrik ini adalah sebahagian daripada Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan bagi mengurangkan impak kesan oleh wabak Covid-19,”katanya.

Tamat