Dua Pengedar Dadah Ditahan

Beg sandang milik suspek yang mengandungi dadah jenis syabu berjaya dirampas.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Belud: Dua pengedar dadah berjaya ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kota Belud, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 35 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan selepas dikenalpasti aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJN) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bermula jam 8 pagi.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan pengedar berusia 28 tahun yang dikesan membawa enam paket plastik mengandungi ketulan hablur iaitu syabu seberat 33.54 gram bernilai RM5,000.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mendapatkan bekalan daripada rakan dikenali sebagai ‘Boboy’ berusia 35 tahun yang juga pengedar dadah.

“Susulan itu, satu lagi operasi memburu suspek kedua dijalankan dan berjaya menahan lelaki terbabit sejurus selepas itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beg sandang yang dirampas daripada suspek pertama mengandungi enam paket plastik berisi syabu.

Mohd Zaidi berkata, suspek kedua didapati sedang bersembunyi di kawasan belukar tidak jauh dari rumah pertama yang diserbu.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua lagi paket plastik berisi syabu seberat 5.49 gram bernilai RM750.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek warga tempatan itu mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama.

Tamat