
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Lebih 5,000 peminat sukan maya menyertai pertandingan ‘Stay Safe Kaamatan Raya E-Sport Championship’ anjuran Pergerakan Wira Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pertandingan yang menganjurkan acara permainan E-Sport, Player Unknown Battleground (PUBG) dan Mobile Legend Bang Bang itu disertai peserta seawal usia 9 hingga 34 tahun.
Bendahari Wira Warisan, Mohd Nazil Mohd Lan berkata, pertandingan itu bukan saja bertujuan mengasah bakat dalam bidang sukan berkenaan malah turut mempromosi saranan kerajaan untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian penularan pendenik Covid-19.
“Sebab kita tahu musim perayaan pada masa kali ini amat berbeza berbanding musim perayaan sebelumnya. Kerajaan mengeluarkan arahan untuk semua orang supaya tidak berkumpul bersama ahli keluarga bagi mengelakkan masalah Covid-19.
“Sebab itu, Wira Warisan mengambil inisiatif ini mengadakan pertandingan ini bagi membolehkan anak-anak muda berkumpul di arena maya untuk bermain game,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hadir sama Naib Ketua Wira Warisan, Abdul Kadir Jalani dan Ketua Pegawai Eksekutif R Legacy E-Sport Sdn. Bhd, Redmond Radiman.
Mohd Nazil berkata, dalam pertandingan itu, semua peserta dihadkan kepada rakyat Sabah di seluruh negara dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.
Katanya, pertandingan itu sudah bermula pada 25 Mei lalu di peringkat kelayakan manakala pasukan yang berjaya layak ke perlawanan akhir akan berentap pada Ahad depan.

“Hadiah yang ditawarkan jumlah hadiah RM10,000, johan RM2,000, naib johan RM1,000 dan ketiga RM500 jadi kita mahu lebih banyak pemain mendapat hadiah yang ditawarkan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Kadir berkata, Wira Warisan menyimpan hasrat untuk membangunkan sukan E-Sport di Sabah menerusi penganjuran pertandingan seperti itu.
Katanya, ia juga diharap dapat mencungkil bakat-bakat muda untuk mewakili Sabah pada masa akan datang.
“Kita teruskan pertandingan supaya sukan E-Sport ini belia-belia Sabah tidak ketinggalan.
“Setiap juara akan diberikan latihan khusus bagi mewakili negeri ini di pertandingan peringkat lebih tinggi termasuk pertandingan E-Sports antarabangsa,”katanya.
Tamat





