Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Tuntut RM872 Juta Daripada Bekas Ketua Menteri.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan tuntutan menggunakan sistem e-filling terhadap Bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Tuntutan yang dibuat pada 16 Jun lalu itu membabitkan wang berjumlah RM872 yang dipercayai hilang disebabkan perjanjian aktiviti pembalakan meragukan.

Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria berkata, pemfailan mahkamah itu dibuat selepas pihaknya percaya semua wang berkenaan adalah milik Yayasan Sabah.

Katanya, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah mempunyai sebab kukuh bagi mempercayai Tan Sri Musa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan anak syarikat  Yayasan Sabah, iaitu Rakyat Berjaya Sdn Bhd bagi tujuan pembalakan.

“Dalam tuntutan mahkamah itu, kami turut menamakan beberapa penerima dan transaksi wang membabitkan akaun luar pesisir.

“Tuntutan ini dibuat melalui proses perundangan,” katanya pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Turut hadir peguam Douglas Lind yang mewakili Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

Jamalul Kiram berkata, Yayasan Sabah adalah pemegang konsesi pembalakan terbesar yang ditubuhkan pada tahun 1966 bagi menjaga sosio-ekonomi rakyat dan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Katanya, Musa gagal melaksanakan tanggungjawab ‘fiduciary’ untuk memelihara kepentingan Yayasan Sabah sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

Tamat