
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
PAPAR: Tiga termasuk dua wanita maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kilometer 22 Jalan Papar Lama, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kemalangan membabitkan sebuah kereta Honda Civic dan sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati, Honda Civic yang dipandu wanita berusia 30-an bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar.
Bagaimanapun katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas masuk ke jalan bertentangan.
“Kereta Honda Civic terus merempuh sebuah lori di lorong bertentangan sehingga mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk.
“Akibat daripada insiden itu, pemandu dan dua penumpang berusia 20 hingga 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Batholomew berkata, dalam kejadian itu, pemandu lori turut mengalami kecederaan kecil di kaki dan tangan manakala penumpangnya pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, semua mayat sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya,” katanya.
Tamat







