NORMA BAHARU PKPP ~ BANTUAN KASIH PIBG UNTUK SMK KONVEN ST. CECILIA, SANDAKAN

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Sandakan: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St. Cecilia mengambil inisiatif awal untuk membantu pihak sekolah selaras dengan persediaan pembukaan semula sekolah berkenaan, Rabu depan.

Seramai 180 pelajar tingkatan lima di sekolah berkenaan dijangka hadir ke sekolah dengan amalan norma baharu semasa pelaksanaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula sejak 10 Jun lalu.

Yang Dipertua PIBG, Dr Peter Jr Naintin berkata, PIBG memainkan peranan penting dalam membantu pihak sekolah agar semua pelajar dapat menjalankan aktiviti pembelajaran dengan baik, selesa dan selamat.

Katanya, hari ini, AJK PIBG turut berkesempatan untuk menghulurkan ‘Bantuan Kasih’ berbentuk kit kesihatan kepada pihak sekolah.

“Antara yang disumbangkan adalah 1,000 keping pelitup muka, 150 liter cecair pembasmi kuman dan lima alat pengukur suhu badan untuk kegunaan warga sekolah berkenaan dalam menangani penularan virus COVID-19.

“Kami berharap warga sekolah akan terus komited melaksanakan tanggungjawab dalam pemantuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Turut hadir pada majlis penyerahan Bantuan Kasih itu ialah Penolong Kanan, Chong Fui Ha dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Malar serta AJK PIBG.

Dr Peter berkata, beliau berharap Bantuan Kasih yang disumbangkan itu dapat membantu sekolah menangani penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengetua SMK Konven St. Cecilia Soo Tian Hock berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Peter dan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PIBG atas sumbangan yang disalurkan kepada sekolah pada hari ini.

Untuk rekod, pada Februari lalu, pihak PIBG berjaya menganjurkan Larian Jogathon 2020 dengan kerjasama pihak sekolah.

Program berkenaan bertujuan untuk mengumpul dana dan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan para ibu bapa, pelajar dan guru.

Dana yang berjaya dikumpul ini akan digunakan untuk aktiviti kurikulum, kokurikulum dan membantu para pelajar dalam aktiviti pembelajaran serta kebajikan.

Tamat