Premis Nombor Ramalan Serta Aktiviti Sukan Dan Riadah Kolam Renang Dibenarkan Beroperasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk membenarkan pengoperasian seperti aktiviti sukan dan riadah kolam renang, biliard dan snuker serta premis jualan nombor ramalan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, selaras dengan keputusan itu, waktu operasi premis nombor ramalan berlesen hendaklah dijalankan seperti biasa tertakluk kepada Standard Operating Procedure (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, pengusaha premis berkenaan juga perlu mematuhi arahan pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Yang Berwajib.

“Kerajaan Sabah juga membenarkan peniaga atau pelabur warga asing masuk ke negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

“Bagaimanapun, mereka hendaklah mengisi borang pengisytiharan kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Shafie berkata, kebenaran itu juga tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan pihak yang berwajib.

“Kerajaan Negeri memperingatkan sekali lagi kepada semua masyarakat di Negeri Sabah supaya mengelakkan kawasan 3S, iaitu jauhi kawasan yang sesak, elakkan kawasan yang sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat,” katanya.

tamat