390 PATI Diusir

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

SANDAKAN: Seramai 390 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina diusir pulang ke negara asal dengan menaiki kapal dari pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, semalam.

Pengarah Keselamatan Negeri, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, ini adalah pengusiran siri ke-22 melalui laut pada tahun ini membabitkan PATI Filipina dan Indonesia.

Katanya, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang diusir sepanjang tahun ini adalah seramai 5,245 orang.

“Seperti siri pengusiran sebelum ini, semua tahanan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung.

“MKN Sabah merakamkan penghargaan kepada kerajaan Filipina kerana memberi kerjasama dalam memastikan urusan pengusiran berjalan lancar,” katanya dalam kenayataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, seramai 57 rakyat Malaysia yang terkandas di Filipina pulang ke Sabah dengan menaiki kapal dari Zamboanga.

Sh Sitti Saleha berkata, semua rakyat Malaysia itu tiba bersama 18 pasangan masing-masing yang juga warga Filipina selepas terkandas sejak 15 Mac lalu.

Katanya, semua rakyat negara itu menaiki kapal menggunakan peruntukan kewangan sendiri dengan proses kepulangan diuruskan oleh Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Davao City dan Kedutaan Besar Malaysia di Filipina.

“Proses penerimaan mereka diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah bersama kerajaan negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, polis, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan beberapa agensi lain.

“Kumpulan ini akan menjalani perintah kuarantin wajib di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Sh Sitti Saleha berkata, mereka juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 selaras garis panduan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan prosedur ditetapkan JKNS.

Tamat