
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
LAHAD DATU: Sebuah bot nelayan jenis pukat tunda ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu dalam operasi “Op Benteng Covid” di kawasan laut Bagahak, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, bot berkenaan didapati menangkap ikan di kedudukan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM, Wilayah 4 Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, berdasarkan maklumat, pasukan PPM berjaya mengesan bot berkenaan di kawasan perairan berkenaan.
Katanya, bot nelayan berkenaan didapati sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan laut Bagahak pada jarak yang tidak dibenarkan.
“Pemeriksaan mendapati, bot nelayan berkenaan membawa muatan pelbagai jenis ikan seberat 300 kilogram bernilai RM600.
“Bot bersama juragan dan anak kapal kemudiannya dibawa balik ke Markas operasi untuk tindakan selanjutnya termasuk dirujuk ke Jabatan Perikanan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Gan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang membabitkan aktiviti menangkap ikan oleh bot nelayan jenis pukat tunda berhampiran persisiran pantai.
Katanya, ia adalah sangat berbahaya kepada nelayan-nelayan kecil dan juga terhadap Ekosistem ikan dan batu karang.
“Pasukan Polis Marin menasihati pengguna laut mengenai peraturan-peraturan perikanan yang perlu dipatuhi ketika melakukan aktiviti perikanan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen,” katanya.
Tamat






