LAHAD DATU: Daerah Lahad Datu mempunyai pelbagai destinasi yang berpotensi untuk dijadikan sebagai industri pelancongan antarabangsa.
Pengurus Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha berkata, banyak lokasi menarik di daerah itu merangkumi pusat pelancongan di laut mahu ataupun daratan termasuk Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin dan Lembah Danum.
Katanya, rakyat Malaysia sendiri sepatutnya datang melancong ke Sabah kerana daerah ini banyak tempat menarik.
“Ia amat berpotensi dijadikan sebagai pusat pelancongan yang lebih besar berbanding apa yang ada di Johor mahupun Pahang.
“Salah satunya boleh dijadikan sebagai destinasi pelayaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui media dalam satu program Pelayaran Malaysia Laluan ke Timur, Perhimpunan Kapal Layar 2020, di sini.
Sazli berkata, ini kerana Lahad Datu mempunyai keindahan lautan, flora dan fauna yang mampu menarik pelancong dalam dan luar negara.
Namun katanya, ia memerlukan kemudahan infrastruktur seperti marina, jeti kapal layar atau pangkalan untuk membaiki bot, perlu dibina di daerah ini untuk pelayar berlabuh.
“Berhubung soal keselamatan, kawalan di perairan oleh pasukan keselamatan yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), mampu memberi keyakinan kepada pelayar untuk belayar,” katanya.
Tamat






