Empat Keluarga Hilang Tempat Tinggal


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Membakut: Empat keluarga hilang tempat tingal selepas rumah mereka di Kampung Lumantak, Jalan Bambangan, di sini, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, empat rumah berkenaan terbakar dipercayai disebabkan mengalami litar pintas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.47 pagi.

Katanya, sebuah jentera bersama 14 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan api kebakaran.

“Menurut komander operasi, kebakaran melibatkan empat rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 743 meter persegi yang musnah 100 peratus.

“Tindakan operasi pemadaman menggunakan sumber air tertutup dan sumber air terbuka daripada sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 8.32 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.30 pagi selepas pasukan operasi melakukan pemeriksaan akhir untuk memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetus bahaya kebakaran.

“Kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya,

Tamat