WARISAN-PH JANGAN SELEWENG ISU BIBLE

Kota Kinabalu: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah, hari ini, menyelar beberapa kenyataan daripada pimpinan politik Warisan yang mengatakan pimpinan PAS menghina masyarakat bukan Islam.

Pengerusi DHPP Sabah, Satail Majungkat berkata, kenyataan yang dibuat itu hanya seumpama politik murahan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, beliau sendiri mendengar berulang kali kenyataan oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan mendapati tidak ada kenyataan yang berunsur penginaan kepada mana-mana agama.

“Beliau hanya mengatakan ”jangan berpegang pada sumber agama yang diselewengkan” ketika membahaskan mengenai hukuman terhadap pemandu mabuk.

“Saya merasakan itu adalah saranan yang tepat. Lebih baik kerajaan Sabah sekarang perbesarkan dan fokus isu-isu rakyat. Kami di kampung-kampung makan pun susah. Jalan raya sangat teruk. Anak-anak pergi sekolah sangat sukar. Ada kampung yang tiada air,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Satail berkata, masih terlalu banyak isu rakyat yang belum selesai dan perlukan perhatian serius.

“Tiada gunanya mainkan isu perkauman sedangkan ia tidak berasas sama sekali.

“Saya sarankan kepada kerajaan Warisan supaya berubah. Jadilah kerajaan yang sayangkan rakyat. Jangan fokus pada isu perkauman kerana hanya merugikan negeri dan negara,” tegasnya.

Tamat