Enam Tidak Patuh SOP Dikompaun.


Beaufort: Enam lelaki termasuk penjaga kedai snooker, di sini, dikenakan kompaun selepas didapati ingkar terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam tangkapan jam 6.15 petang itu, semua lelaki berusia lingkungan 15 hingga 53 tahun itu ditahan pasukan pemantauan penguatkuasaan Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pasukan polis yang menjalankan pemeriksaan di kedai berkenaan didapati lima pelanggan tidak menulis nama dan mengambil bacaan suhu ketika masuk ke dalam premis itu.

“Selain itu, penjaga premis turut didapati melakukan kesalahan kerana gagal memastikan pelanggan premisnya mematuhi SOP dan peraturan memasuki premis ketika tempoh PKPP.

“Semua suspek kemudian dibawa ke IPD Beaufort untuk tujuan kompaun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmir berkata, kesalahan disiasat mengikut Peraturan 11(1) dan Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

tamat