
Kota Kinabalu: Keseluruhan 146 polis dan kakitangan awam dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu diarahkan menjalani kuarantin selepas dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua terbabit diarahkan menjalani proses itu di rumah masing-masing sejak minggu lalu.
Katanya, antara yang dikuarantin termasuklah tujuh pegawai dan 136 anggota dan kakitangan awam.
“Mereka diarah untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing sejak minggu lalu secara berikutan ada dalam kalangan ahli keluarga anggota yang disahkan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan penugasan Sekatan Jalan Raya Covid-19 di Anjung Melawar, Sepanggar, di sini, hari ini.
Habibi berkata, semua anggota yang diarahkan untuk menjalani kuarantin bagaimanapun dalam keadaan baik.
“Semua mereka dalam keadaan baik dan akan kembali untuk bekerja sebaik tamat tempoh kuarantin,” katanya.
Sementara itu, Habibi menasihatkan orang ramai khususnya di daerah ini untuk tidak panik dengan senarai lokaliti Covid-19 yang tular sejak semalam berikutan tiada rekod yang serius di kawasan berkenaan.
“Semua kawasan yang disenaraikan itu dipilih supaya pihak polis boleh perketatkan lagi penugasan berikutan terdapat beberapa individu yang dikesan positif Covid-19 di lokasi berkenaan.
“Tiga kawasan utama termasuk Bandar Sierra, Kampung Kembirian serta Skim Penempatan Telipok dikesan sebagai tempat tumpuan orang ramai dan kita akan menjalankan penugasan serta kawalan pergerakan yang lebih ketat di sana.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa patuhu SOP untuk sama-sama memerangi wabak Covid-19 daripada terus merebak,” katanya.
tamat





