
PAPAR: Tiga penagih termasuk seorang wanita ditahan ketika cuba melepasi sekatan jalan Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD), berhampiran Balai Polis Bongawan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun terbabit ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek membawa beberapa paket plastik lutsinar.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi dadah jenis Syabu anggaran berat 1.97 gram.
“Semua suspek kemudiannya terus ditahan dan direman di lokap IPD Papar untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha berterusan PDRM, khususnya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.
Selain itu katanya, penguatkuasaan sekatan jalan yang dilakukan juga bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD dipatuhi sepanjang tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, Batholomew menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan.
Katanya, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah di daerah ini, boleh disalurkan kepada pihak PDRM, IPD Papar khususnya untuk tindakan segera.

Tamat







