
Kota Kinabalu: Penugasan sekatan jalan raya Covid-19 di Jalan Politeknik/Anjung Malawa, di sini, terhenti seketika selepas khemah menempatkan anggota dan pegawai bertugas diterbangkan angin kencang, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, beberapa petugas yang terdiri daripada anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta anggota Jabatan Sukarawan Malaysia (Rela) bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, keadaan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan khemah petugas berteduh diterbangkan angin.
Katanya, difahamkan beberapa anggota cuba menahan tiang khemah namun keadaan angin kuat menyebabkan khemah itu terus diterbangkan.
“Syukur anggota bertugas tidak mengalami sebarang kecederaan namun khemah petugas Covid-19 itu rosak teruk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, keadaan itu menyebabkan penugasan Covid-19 terpaksa ditangguh sebelum disambung semula sebaik hujan berhenti kira-kira jam 7 malam tadi.
Katanya, pengorbanan pegawai dan anggota polis serta anggota Rela di barisan hadapan tidak kira hujan atau ribut demi keselamatan dan kesihatan warga daerah ini dan orang ramai.
“Semua warga bandar raya juga diingatkan supaya mematuhi sepanjang tempoh PKPB ini kerana wabak Covid-19 menyerang sesiapa saja dan boleh membawa maut.
“Oleh itu, polis tidak akan berkompromi kepada orang ramai yang melanggar PKPB yang sedang dikuatkuasakan,” katanya.
Tamat




