Kota Marudu: Suspek kes tetak sehingga mengakibatkan kematian di Kampung Kuyuh, Pitas, di sini, kelmarin, akhirnya ditahan selepas keluar daripada lokasi persembunyiannya di kawasan hutan kerana lapar, malam tadi.
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, di sebuah rumah di Kampung Binanjar, Paitan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, selepas kejadian di Pitas, suspek terbabit melarikan diri ke Kampungnya di Paitan.
Katanya, selepas tiba di kampung, suspek dikatakan menyembunyikan diri di dalam kawasan hutan di tepi kampung berkenaan.
“Kita telah menjalankan pemantauan di kawasan hutan itu sejak kelmarin dan suspek dikesan memasuki rumah seorang saudaranya.
“Rumah itu telah diserbu dan akhirnya suspek berjaya ditahan jam 8 malam tadi,” katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.
Mohd Izaan berkata, suspek dipercayai masuk ke rumah itu kerana kelaparan.
“Suspek sedang di bawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Dalam kejadian jam 11.15 malam Sabtu lalu, ibu kepada tunang suspek lelaki berkenaan dikenali sebagai Habibah Abungon, 68, mati akibat ditetak.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang berada di rumah turut cedera diserang suspek yang mengamuk selepas dikatakan enggan memutuskan tali pertunangannya.
tamat






