KOMPAUN DAN TANGKAPAN MENINGKAT DI AMBANG SAMBUTAN TAHUN BARU

Penampang: “Saya tidak minum banyak, hanya ‘happy-happy’ saja”, itu kata seorang lelaki yang ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Ambang Tahun Baru 2021, awal pagi tadi:

Operasi selama lima jam yang berakhir jam 4 pagi itu yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di beberapa lokasi sekatan jalan dan perumahan serta premis pusat hiburan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi berkenaan, seramai 30 individu dikenakan kompaun atas kesalahan melakukan aktiviti dilarang.

Katanya, semua aktiviti berkenaan dikenalpasti melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) No. 8 2020.

“Selain itu, polis turut menahan dua individu atas kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai mungkin merebakkan apa-apa jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

“Operasi kali ini juga membabitkan dua sekatan jalan menerusi Op Mabuk di dua lokasi berasingan. Dalam operasi ini, sebanyak 18 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, dalam operasi sama, polis menahan dua lelaki mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada tahap yang dibenarkan.

“Operasi kali ini menyasarkan petugas polis untuk membuat rondaan di kawasan-kawasan perumahan dan tumpuan orang ramai seperti di pesisir pantai, pusat-pusat hiburan, premis-premis makanan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Hasil daripada operasi yang dilakukan pihak polis mendapati masih ramai dalam kalangan masyarakat yang bersikap sambil lewa dan tidak menghiraukan bahana penularan wabak Covid-19 dan perkara ini sudah pasti menyukarkan petugas barisan hadapan dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Mohd Haris berkata, antara kesalahan-kesalahan kompaun adalah tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti dalam berkumpulan serta operasi premis yang melebihi masa yang telah ditetapkan.

“Kita sedia maklum bahawa, sambutan tahun baru merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat di daerah ini dan tidak salah untuk meraikannya asalkan mengikut SOP yang ditetapkan, namun masih ramai yang ingkar dan ‘kebal.

“Jumlah kompaun yang dikeluarkan dalam operasi semalam adalah rekod tertinggi sepanjang Op Covid-19 Pemantauan Pematuhan PKPB harian yang dijalankan oleh Polis Penampang,” katanya.

Operasi yang dijalankan itu membabitkan kekuatan seramai 10 Pegawai Kanan dan 61 Anggota Polis IPD Penampang.

Tamat