Mayat Lelaki Terapung Ditemui.

Labuan: Satu mayat lelaki ditemui terapung di perairan berhampiran Pulau Rusukan Kecil, di sini, hari ini.

Mayat lelaki lengkap berpakaian itu ditemui kira-kira jam 10.30 pagi oleh orang awam sebelum melaporkan kepada polis untuk mendapatkan bantuan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, sebaik menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan pegawai penyiasat yang dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan kemudiannya menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira satu batu daripada Pulau Rusukan Kecil.

“Ketika ditemui, keadaan mayat berkenaan lengkap berpakaian dan berbaju jaket biru muda bertulis ‘HENGYI’ ,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, pemeriksaan awal terhadap badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan fizikal selain tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian.

”Setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan mana-mana individu.

“Bagaimanapun, polis memohon kerjasama ahli masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan mana-mana individu atau ahli keluarga supaya segera tampil ke Balai Polis Labuan untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Ibrahim berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Tamat