
Kota Kinabalu: Enam sekeluarga ditahan polis selepas didapati menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sembulan, di sini, khamis lalu.
Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, enam individu yang ditahan membabitkan pasangan suami isteri, dua anak lelaki dan seorang lagi anak perempuan serta suaminya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua suspek adalah warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 66 tahun.
Katanya, ketika ditahan polis berjaya menemui enam paket syabu seberat 67.80 gram yang disembunyikan di bawah pecahan jubin di rumah mereka.
“Siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selain itu, dua lagi suspek didapati positif dadah manakala selebihnya negatif,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, Habibi berkata, dalam serbuan berasingan di kawasan flat perumahan Kampung Sembulan Tengah, di sini, jam 7.35 malam kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan di kereta Toyota Vios milik suspek berjaya menemui tiga paket syabu seberat 150.36 gram yang disembunyikan di dalam bonet belakang.
“Siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain negatif hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam dua serbuan berkenaan adalah seberat 218.16 gram yang dianggarkan bernilai RM21,816 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.
Habibi berkata, semua tujuh suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sekitar ibu negeri.
Katanya, polis percaya bekalan dadah yang diperolehi dibungkus dalam kuantiti kecil sebelum dijual kepada penagih dadah bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.
Habibi berkata, semua suspek kini ditahan reman bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Tamat







