Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing yang memiliki kad pengenalan orang lain antara ditahan dalam operasi bersepadu cegah jenayah yang diketuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Pekan Inanam, di sini, hari ini.
Dalam operasi jam 3 petang itu, lelaki terbabit yang pada awalnya memberikan kad pengenalan berkenaan ketika pemeriksaan akhirnya mengaku baru saja menemui dokumen berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 40-an terbabit turut memberitahu dia juga berhasrat untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa tetapi tidak kesampaian apabila ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi bersepadu berkenaan, polis berjaya menahan seramai 11 individu membabitkan penjual rokok dan pendatang asing tanpa izin (pati).
Katanya, empat yang ditahan kerana memiliki dadah syabu manakala dua individu lagi didapati positif dadah.
“Dalam operasi ini, kita juga berjaya menahan seorang lelaki kerana memiliki 125 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM3,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Semua yang ditahan membabitkan individu berusia 20 hingga 40-an, yang dikesan terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang dan jenayah,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, hari ini.
Habibi berkata, operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan ini bebas daripada kegiatan yang boleh mengundang jenayah.
Katanya, operasi dijalankan hasil maklumat awam dan polis amat mengalu-alukan masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.
Operasi bersepadu yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membabitkan kekuatan 100 petugas.
Tamat







