KEPKAS Sambut Baik Pembukaan Semula Sektor Pelancongan.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) menyambut baik kelonggaran kerajaan untuk membuka semula sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kelonggaran itu membabitkan operasi sektor pelancongan yang dibenarkan beroperasi pada kadar 50 peratus daripada kapasiti premis dengan penjarakan fizikal.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, antara premis yang diberi kebenaran adalah termasuk zoo, akuarium, pusat ‘edutainment’, taman semula jadi, sukan ekstrem, rekreasi, dan  ladang.

Manakala katanya, premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar juga dibenarkan dengan syarat yang sama.

“Semua pihak termasuk pelancong mahupun pemain industri pelancongan agar sentiasa peka dengan kesihatan diri dan keadaan sekeliling dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Premis pelancongan hendaklah bersedia menerima pengunjung dengan persediaan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jafry berkata, pandemik COVID-19 ini dijangka akan terus wujud dalam tempoh masa tidak dapat dijangkakan.

“Oleh itu, kita perlu kekal berdisiplin mengamalkan norma baharu dalam menjalankan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan buat individu, keluarga dan masyarakat terjamin,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Jafry berkata, kementerian pelancongan kini bersiap sedia untuk pelaksanaan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ untuk tempoh terdekat ini.

Walaubagaimanapun katanya, ia bergantung kepada keadaan semasa dan sehingga negeri Sabah berada di tahap PKP Pemulihan.

“Saya berharap program vaksinasi berjalan dengan lancar dan kita berjaya membendung pandemik ini seterusnya sektor pelancongan dapat digerakkan semula bagi menjana ekonomi negeri Sabah.

“Pelaksanaan vaksinasi secara berkesan akan menjadi faktor utama ke arah pembukaan sempadan, normalisasi aktiviti perjalanan dan pelancongan antarabangsa,” tegasnya.

Tamat