Kota Kinabalu: Sebanyak 73 rumah atas air dilaporkan musnah dalam kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, malam tadi.
Kejadian jam 8 malam yang didakwa bermula dari sebuah rumah itu menyebabkan lebih 200 penghuni hilang tempat tinggal berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.23 malam.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan bot.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api marak dan operasi memadam kebakaran terus dijalankan sebelum api berjaya dikawal jam 10.16 malam tadi.
“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bagaimanapun usaha memadam sisa api masih giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata, sebanyak tiga pusat penempatan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas.
“Pusat-pusat penempatan sementara (PPS) sudah dibuka di Sembulan dan juga di Likas, dan juga mungkin Damai kalau ada keperluan.
“Sementara itu, agensi yang lain juga dalam keadaan sedia. Kita harapkan tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Tetapi kami juga difahamkan, ada yang sudah keluar daripada pulau dan diambil oleh keluarga masing-masing,” katanya.
Noorliza berkata, maklumat terkini, semua dalam keadaan terkawal dan api pun sudah berjaya dipadamkan.
“Jadi kami cuma bersedia di sini, kalau ada mangsa-mangsa yang perlu ditempatkan semula,” katanya.
tamat







