Kampung Lok Urai, Pulau Gaya Terbakar.

Kota Kinabalu: Sekurang-kurangnya 20 rumah musnah dijilat api manakala berpuluh lagi dikhuatiri bakal terbakar selepas Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, terbakar malam tadi.

Api dikatakan mula marak memusnahkan beberapa rumah kira-kira jam 8 malam tadi, sebelum merebak hampir ke seluruh perkampungan atas air berkenaan.

Difahamkan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga terpaksa menggunakan bot bagi membawa peralatan memadam api ke lokasi kejadian.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, puluhan penduduk dilihat terpaksa menaiki bot secara beramai-ramai bagi menyelamatkan diri dan harta benda.

Malah katanya, ada juga yang dikatakan terpaksa terjun ke laut bagi menyelamatkan diri masing-masing.

“Penduduk yang berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki bot dikatakan bergerak ke kawasan selamat di pulau berkenaan.

“Kebakaran juga mengakibatkan berlakunya beberapa bunyi letupan yang berkemungkinan berpunca daripada tong gas yang terbakar,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.