JTK Kesan 1,367 Kesalahan Membabitkan Penginapan Pekerja.

KOTA KINABALU: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengesan sebanyak 1,367 kesalahan membabitkan penginapan pekerja di Sabah, sejak dikuatkasakan 26 Februari lalu.

Semua kesalahan membabitkan 240 majikan di seluruh negeri itu didapati melanggar Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan Penginapan dan Kemudahan Pekerja) Akta 446 (Pindaan) 2021 (EO 446).

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, JTK sudah mengeluarkan arahan kepada majikan dan tindakan yang perlu diambil bagi memenuhi peruntukkan undang-undang mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan termasuk tidak mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK dan gagal mematuhi tanggungjawab berkaitan keselamatan serta kesihatan.

“Selain itu, JTK turut mengesan kesalahan majikan yang tidak menyediakan kemudahan asas sepatutnya.

“Pemeriksaan penginapan pekerja yang dilakukan ini membabitkan seramai 4,836 orang adalah pekerja tempatan dan 4,542 membabit pekerja asing,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Pematuhan Penginapan perumahan Pekerja, di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih.

Wan Zulkifli berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati ada majikan yang membenarkan pekerja mereka tinggal bersama ahli keluarga walaupun tempat tinggal berkenaan tidak memenuhi peruntukan asas undang-undang.

Sehubungan itu, Wan Zulkifli meminta semua majikan supaya menyediakan penginapan pekerja yang mendapatkan perakuan daripada JTK.

Katanya, majikan yang tidak mempunyai sebarang perakuan penginapan daripada JTK boleh dikenakan tindakan.

Sementara itu, Isnin yang ditemui turut meminta semua majikan supaya tidak mengambil mudah perkara berkaitan tempat penginapan pekerja.

Katanya, kebajikan pekerja perlu dititikberatkan kerana kerajaan tidak mahu berlakunya sebarang bentuk penganiayaan khususnya ke atas pekerja tempatan.

-Tamat-