RUANGAN BELAJAR BAHASA KADAZANDUSUN SECARA MAYA.


KOTA KINABALU: Portal Nabalu News mendahului langkah dengan mewujudkan ruangan belajar Bahasa Kadazandusun secara maya agar liputannya lebih luas dan menyeluruh.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr.Rosliah Kiting berkata, ruangan khas Belajar Bahasa Kadazandusun melalui Nabalu News juga akan membantu memantapkan lagi program pendidikan Bahasa Kadazandusun tanpa sempadan sesuai dengan corak pembelajaran digital semasa.

Katanya, pembelajaran Bahasa Kadazandusun lebih mudah dicapai melalui penerbitan maya Nabalu News yang peka dengan keperluan masyarakat secara lebih meluas iaitu menjangkau kepada keperluan pelestarian bahasa ibunda.

“Isu berkaitan dengan kelemahan penguasaan generasi muda terhadap bahasa ibunda bukan isu baru tetapi telah lama ditimbulkan dan sentiasa hangat diperkatakan.

“Oleh itu saya melihat ini satu kelebihan yang sangat ketara dengan Nabalu News iaitu mendahului tindakan berbanding dengan memaparkan isu kelemahan penguasaan bahasa ibunda yang semakin merundum,” katanya.

Dr. Rosliah berkata, tindakan ini pasti memberikan impak yang sangat besar kepada pemantapan penguasaan bahasa ibunda lebih-lebih lagi bahan yang dipaparkan secara maya akan diterbitkan dalam bentuk buku untuk tatapan bangsa selamanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Program Kadazandusun Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI dan Portal Nabalu News.

Nabalu News diwakili oleh Ketua Editornya Marryan Razan manakala Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI diwakili oleh Dr.Rosliah dan disaksikan oleh Naib Presiden UPKO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Dr.Rosliah berkata, dalam program itu, pihak UPSI bekerjasama merangka program pendidikan secara maya, membekalkan kepakaran linguistik, menyediakan khidmat perundingan dan menyemak kandungan program yang dimuatnaik dalam Portal Nabalu News.

“Pemilihan saya mewakili Program Bahasa Kadazandusun, UPSI oleh Portal Nabalu News sebagai rakan kerjasama menjayakan program Mari Belajar Bahasa Kadazandusun merupakan satu pengiktirafan terhadap pengajian Bahasa Etnik ini.

“Selain itu, ianya sebagai usaha merealisasi konsep  3R UPSI iaitu  Referred, Relevant and Respected, menjadi rujukan utama berkaitan dengan pendidikan dalam rantau Asia,” katanya.

Dr.Rosliah berkata, ruang ini akan membantu memantapkan program pendidikan Bahasa Kadazandusun tanpa sempadan sesuai dengan corak pembelajaran digital semasa.

Katanya, program Bahasa Kadazandusun di UPSI telah diperkenalkan sejak tahun 2010 dan sehingga Mac 2021, Program Bahasa Kadazandusun, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI  berjaya melahirkan empat graduan master. Kini program ini mempunyai seorang pelajar PhD dan  22 pelajar master yang aktif.

Sementara pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, katanya, program ini berjaya melatih 205 siswa yang mengambil kursus ini sebagai minor ataupun elektif, di mana sebahagiannya sedang berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Vokasional dan sekolah.

“Saya menyeru semua pihak terutamanya daripada etnik peribumi Sabah dalam rumpun Dusunik dan yang berminat agar mengambil peluang ini untuk belajar Bahasa Kadazandusun secara maya.

“Semoga usaha ini mampu menghangatkan semangat mencinta bahasa dan budaya bangsa sendiri,” katanya.

Tamat