Media Berperanan Membantu Menyebarkan Maklumat.


MALIAU BASIN: Pengamal media perlu memainkan peranan bagi membantu menyebarkan maklumat dalam menerangkan fungsi serta peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada masyarakat.

Ini berikutan ramai dalam kalangan masyarakat yang masih tidak mengetahui secara lebih terperinci mengenai peranan agensi berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, usaha itu penting kerana masih ada pihak yang mungkin terkeliru dengan kehadiran anggota dan pegawai agensi itu di sesebuah lokasi.

Katanya, ramai yang beranggapan agensi APM hanya sekadar membabitkan operasi menangkap binatang seperti ular dan banjir.

“Orang ramai hanya kaitkan APM dengan operasi seperti menangkap ular, memusnahkan sarang tebuan dan operasi menyelamatkan mangsa terperangkap ketika musim banjir.

“Namun, hakikatnya peranan dan fungsi yang dimainkan oleh APM sangat besar demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program APM bersama pengamal media Sabah, selama dua hari, di sini.

Mohd Sallehhudin berkata, APM juga berperanan melatih dan mendedahkan seramai mungkin masyarakat dalam aspek keselamatan dan pertahanan awam.

Selain itu katanya, orang awam juga akan didedahkan dengan kerja-kerja bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, harta benda sekiranya berlaku bencana.

Katanya, APM turut berperanan sebagai petugas barisan hadapan yang memainkan peranan besar dalam membendung penularan COVID-19 di negara ini.

“Sejak awal penularan COVID-19, APM dikerahkan untuk menyelia individu yang dikuarantin selama dua minggu di pusat-pusat kuarantin seluruh negara,” katanya.

Tamat