NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN PULAU MANTANANI DITAHAN.

KOTA KINABALU: Operasi berterusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan pemantauan di perairan negeri ini berjaya menahan sebuah lagi bot nelayan asing di Pulau Mantanani, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9 pagi itu, bot nelayan yang dipercayai dari Vietnam itu dikesan menjalankan kegiatan mengaut hasil laut secara haram di kedudukan 17.1 batu nautika perairan pulau berkenaan.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, tangkapan itu adalah susulan daripada rangka strategi khas di bawah Op Naga Timur dan Op Kuda Laut.

Katanya, ia dijalankan khusus bagi membanteras dan memerangi isu pencerobohan bot nelayan asing di perairan negeri Sabah.

“Salah satu strategi yang dirangka ialah dengan mengenal pasti kawasan-kawasan potensi atau titik panas (hotspot) pencerobohan bot nelayan asing di perairan Sabah dan Labuan.

“Pulau Mantanani dikenal pasti sebagai salah satu kawasan tumpuan nelayan asing terutamanya dari Vietnam untuk melabuhkan pukat bagi mengaut hasil laut negara secara haram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, ketika ditahan, pihaknya mendapati bot berkenaan dinaiki lima kru termasuk tekong berusia lingkungan 17 hingga 40 tahun.

Katanya, semua mereka ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, iaitu berada di dalam perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan sebarang bukti pengenalan diri yang sah.

“Jika didapati bersalah, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta manakala kru boleh didenda RM600,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, bot dan semua individu terbabit dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, sepanjang tahun 2019, Maritim Malaysia merekodkan sebanyak 12 tangkapan membabitkan bot nelayan Vietnam.

“Selain itu, kita turut berjaya melakukan tiga tangkapan dan dua pengusiran sepanjang tahun lalu.

“Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, kita berjaya melakukan empat tangkapan di perairan Labuan, Kudat dan Kota Kinabalu,” katanya.

Mohd Rosli berkata, operasi membanteras kemasukan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

Katanya, Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan akan terus kekal komited dan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang untuk memastikan perairan negara terutamanya di Sabah aman dan selamat untuk semua pengguna.

“Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim untuk terus bekerjasama memberikan informasi dan maklumat berkenaan salah laku jenayah atau perkara kecemasan yang berlaku di perairan negara.

“Setiap maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan di talian 088-387774 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya.

TAMAT