20 Rumah Musnah Terbakar.

Putatan: Sekurang-kurangnya 20 keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Dumpil, Jalan Lok Kawi Lama, di sini, musnah terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, beberapa penduduk juga terpaksa terjun ke sungai bagi menyelamat diri selepas api mula merebak di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima laporan mengenai kebakaran itu sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba juga sudah berada di lokasi dalam usaha mengawal api kebakaran daripada terus merebak di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lebih kurang 17 hingga 20 rumah terbabit dalam insiden kebakaran ini.

“Kebakaran itu juga dijangka turut menyebabkan 17 ke 20 keluarga hilang tempat tinggal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, semua mangsa yang terbabit akan dipindahkan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Serigai, Putatan untuk penempatan sementara.

“Setakat ini berdasarkan maklumat bomba dan masyarakat yang terbabit, tidak ada mangsa yang terkorban dalam kebakaran ini.

“Punca kebakaran kita serahkan kepada pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Mohd Haris berkata, kejadian kebakaran malam tadi adalah yang kedua di Putatan dan nasihat kepada masyarakat khususnya di Putatan supaya sentiasa berhati-hati dalam keadaan cuaca kering ketika ini.

“Jangan cuai hingga berlaku kebakaran seperti ini kerana akibatnya menjejaskan orang lain dan akan menyebabkan kerugian disaat-saat kita di bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya nanti.

“Kita tidak mahu masyarakat di Penampang ini dalam keadaan susah menyambut Aidilfitri nanti. Jadi kita beri nasihat kepada mereka untuk sentiasa berhati-hati, jaga keselamatan diri, rumah sendiri dan kita jaga keselamatan tetangga kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zainal @ John Radsung ketika ditemui berkata, seramai 24 anggota termasuk anggota forensik bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi memadam kebakaran segera dijalankan dan api berjaya dikawal jam 12.20 tengah malam.

“Setakat ini punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Sabah,” katanya.

Tamat