
Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah sudah memanggil individu yang didakwa terbabit dalam penipuan membabitkan sumbangan vaksin kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk membantu siasatan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali yang mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi, hari ini, berkata, individu terbabit diminta hadir memberi keterangan.
“Ya, kita mengesahkan individu yang dimaksudkan sudah dipanggil ke IPK Sabah, untuk memberi keterangan.
“Bagaimanapun, polis menafikan individu yang dimaksudkan terbabit kini ditahan. Setakat ini, beliau dipanggil untuk memberi kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi untuk mengulas isu penipuan sumbangan vaksin oleh ahli perniagaan dari Sabah yang dikenali sebagai Yong Chee Kong.
Ahli perniagaan terbabit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat di Hong Kong mencetuskan kontroversi selepas dikatakan menawarkan sumbangan vaksin kepada kerajaan Pulau Pinang
Bagaimanapun, baru-baru ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu sidang media mendedahkan perkara berkenaan adalah tidak benar.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Khairy mendakwa tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang adalah satu penipuan.
Tamat



