
Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan tindakan pemantauan terhadap aktiviti tekong yang membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) menggunakan laluan tikus.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, hasil siasatan mendapati, kumpulan PATI mengambil kesempatan untuk masuk ke negara ketika musim pandemik Covid-19.
Katanya, mengikut rekod sejak awal tahun sehingga bulan Mei ini, polis sudah berjaya menahan seramai 179 PATI.
“Kita percaya ia mungkin disebabkan oleh kekangan penugasan pasukan keselamatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pasukan keselamatan lebih banyak diarahkan kepada tugas pemantauan serta sekatan jalan raya (SJR) sehingga menyebabkan tumpuan di sempadan berkurangan,” katanya.
Hazani berkata, polis amat memandang serius cubaan PATI masuk ke negara ini menerusi lorong-lorong tikus dengan bantuan tekong di negara ini.
Sehubungan itu katanya, polis akan meningkatkan operasi di sempadan dari semasa ke semasa dan ambil tindakan sewajarnya kepada tekong yang dikesan membawa masuk PATI ke negara ini.
“Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh disiasat mengikut Seksyen 55(1)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55(1)(c) akta sama.
“Kumpulan tekong ini juga boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun atau denda,” katanya.
Hazani berkata, semua pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan berkenaan juga dinasihatkan supaya menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan segera.
Katanya, ia bukan saja bagi tujuan pencegahan jenayah tetapi juga mengelakkan penularan Covid-19.
tamat





