Kegiatan Bom Ikan Dipatahkan.

SEMPORNA: Tiga bot pam yang melakukan aktiviti pengeboman ikan di sekitar perairan daerah ini ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, kelmarin.

Ketiga-tiga bot pam berkenaan dikesan dalam operasi di perairan Pulau Kerindingan, Pulau Nusa Tongah dan Laut Pulau Omadal, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot membawa beberapa jenis peralatan yang digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan.

Katanya, ketika ditahan, PPM turut berjaya merampas beberapa hasil laut yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan turut didapati memiliki kayu bergergaji tanpa permit dari Jabatan Perhutanan.

“PPM kemudiannya menahan bot dan enjin sangkut berkenaan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohammad berkata, semua tangkapan dan rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Perhutanan 1968 dan keseluruhan nilai  rampasan dianggarkan sebanyak RM29,130,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi  menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Kawalan PPM Sabah di talian 0139391197.

Tamat