Kota Kinabalu: Cuaca hujan lebat berterusan sejak petang tadi mengakibatkan jalan utama daerah Penampang-Tambunan terputus akibat runtuhan di kilometer 52.35, hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, kejadian runtuhan dilaporkan berlaku di kawasanberhampiran Air Terjun Masakob, di sini, jam 7 malam tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati jalan berkenaan terputus sepanjang hampir 30 meter selepas runtuh dipercayai akibat hujan lebat berterusan.
“Jalan berkenaan dipercayai runtuh sepenuhnya sehingga tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan dan kini dikategorikan sebagai merbahaya.
“Bagi pengguna jalan yang menghubungkan dua daerah ini boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Ranau-Tambunan melalui Jalan Kimanis – Keningau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Farhan berkata, pihaknya juga sudah memasang sawar-sawar sebagai amaran kepada pengguna jalan supaya tidak melalui jalan berkenaan.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kenderaan yang berlaku di lokasi kejadian.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya terima panggilan kecemasan di lokasi berkenaan,” katanya.
Tamat








