Rokok seludup dirampas.

Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai dalam operasi di kawasan bangunan Ko-Nelayan, Pasar Awam Lahad Datu, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi, PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya mengesan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika serbuan, kumpulan suspek terus bertindak melarikan diri meninggalkan lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan terus dijalankan di kawasan berkenaan dan menemukan beberapa kotak disembunyikan di kawasan berkenaan.

“Pihak polis menemui rokok dan tembakau yang tidak bercukai yang dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM 4,256 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Gan berkata, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967 bagi mengenalpasti individu terbabit selain pembekal rokok yang dipercayai diseludup masuk berkenaan.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada PPM menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

Tamat