Tinggalkan Rokok Seludup Dalam Bengkel.

Lahad Datu: Taktik penyeludup menyembunyikan rokok di sebuah bengkel di Kampung Cina, Jalan Agaseh, di sini, tidak berhasil apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Dalam operasi jam 11.30 malam itu, PGA berjaya merampas sejumlah 3,090 karton rokok tanpa cukai dipercayai bernilai RM474,084 berdasarkan harga pasaran semasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi yang dijalankan hasil maklumat daripada orang awam selain risikan dan pemantauan di lokasi.

Katanya, hasil pemantauan mendapati tiada sesiapa yang menghampiri atau mengawasi barangan seludup yang ditinggalkan berkenaan.

“Selepas pemerhatian seketika, pasukan operasi terus memecah masuk ke dalam bengkel dan menemui 141 plastik hitam mengandungi rokok.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi rokok jenama Premium Emas, Nice Bold dan Magnum Bintang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rank berkata, semua rokok tanpa cukai berkenaan terus dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Dati untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

Tamat