Kota Kinabalu: Seramai 28 individu yang leka berhibur sehingga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3, dikenakan kompaun dalam operasi di sebuah pusat hiburan di KK Waterfront, di sini, malam tadi.
Dalam operasi jam 12 tengah malam itu, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM56,000.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah yang mengetuai operasi berkenaan berkata, operasi turut dibantu Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo AK Hang.
Katanya, operasi ini dijalankan di pusat-pusat hiburan untuk mengambil tindakan ke atas pengusaha dan pengunjung yang melanggar SOP PPN Fasa tiga ini.
“Ketika operasi dijalankan, kita mendapati premis berkenaan beroperasi dengan muzik yang dimainkan dan pengunjung sedang menikmati minuman keras sambil berhibur.
“Seramai 28 pengunjung termasuk 12 wanita tempatan dikompaun masing-masing RM2,000 setiap seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi berkenaan.
Mohd Zaidi berkata, turut dikenakan kompaun adalah pemilik premis iaitu sebanyak RM10,000 kerana beroperasi melebihi had masa.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis adalah pusat hiburan yang menggunakan lesen kafe dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk beroperasi.
“Dalam operasi itu juga, polis turut menahan seorang wanita warga asing dipercayai pekerja pusat hiburan berkenaan.
“Bermula kelmarin, kita membuat operasi secara besar-besaran ke atas semua pusat hiburan yang melanggar SOP PPN Fasa tiga di bandar raya ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pada masa sama, Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) turut dijalankan di enam kawasan ‘hotspot’ di enam kawasan pentadbiran Balai Polis iaitu di Balai Polis Luyang, Tanjung Aru, Inanam, Alam Mesra, Manggatal, dan Kota Kinabalu.
“Kita melaksanakan enam siri termasuk malam ini OBCJ dilaksanakan dengan tujuan untuk mencegah atau mengekang aktiviti jenayah yang meningkat di enam kawasan berkenaan.
“Hasil OBCJ ini, seramai 12 individu ditahan membabitkan sembilan kesalahan dadah dan tiga kesalahan jenayah. Dalam tempoh OBCJ ini dilaksanakan, trend jenayah telah menurun di keenam-enam ‘hotspot’ yang kita laksanakan OBCJ ini,” jelasnya.
Tamat








