Empat pengedar dan penagih dadah ditahan.

Sipitang: Empat pengedar dan penagih dadah ditahan dalam serbuan di Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia, di sini, dalam operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, serbuan Op Sarang itu dijalankan dengan kerjasama Balai Polis Sindumin.

Katanya, hasil operasi berkenaan, polis berjaya menahan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki dua lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek dipercayai menggunakan kenderaan berkenaan untuk membawa dan menghantar bekalan dadah syabu ke Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.

“Kedua-dua suspek kemudiannya membawa pasukan operasi ke rumah pengedar serta penagih dadah syabu di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Champin berkata, serbuan kemudiannya membawa kepada penahanan lima lagi individu dan merampas ketulan lutsinar disyaki syabu seberat kira-kira 1.90 gram bernilai RM200.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap semua tujuh tangkapan terbabit mendapati tiga orang daripadanya negatif manakala empat orang positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, tiga lagi individu dibebaskan selepas didapati negatif daripada sebarang penagihan dadah.

Sehubungan itu, Champin berkata, operasi ini akan diteruskan lagi bagi mengesan saki baki penagih dan pembekal dadah syabu terutamanya di kedua-dua kampung berkenaan dan kawasan lain sekitar daerah Sipitang walauoun jauh di pedalaman.

Katanya, selaku ketua polis Sipitang, beliau tidak akan berhenti atau memberi ruang serta peluang kepada pengedar, pembekal dan penagih dadah untuk melakukan jenayah berkenaan yang menjadi pemusnah masa depan dan rumah tangga.

“Nasihat saya kepada penagih supaya berhenti dan bertaubatlah. Begitu juga kepada pembekal dan pengedar dadah, hentikanlah kegiatan ini daripada terus merosakkan diri dan saudara-mara terutamanya di daerah Sipitang ini,” tegasnya.

Tamat