Semporna: Cubaan penyeludup membawa keluar minyak masak dan petrol bernilai RM12,627 ke negara jiran gagal selepas berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi rondaan di perairan Kampung Air, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 12.30 tengah hari itu, pasukan operasi PPM menyedari sebuah bot yang ditinggalkan di kawasan jeti dalam keadaan mencurigakan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui beberapa jerikin bersaiz 30 liter dan kotak minyak masak.
Katanya, semua barangan bersubsidi berkenaan disyaki cuba diseludup oleh pemilik bot ke negara jiran Filipina.
“Bot dan barang kawalan itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Kes akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohamad berkata, nilai rampasan semua barangan berkenaan dianggarkan bernilai RM12,627 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.
Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.
Tamat





