Penampang: Seramai enam pemandu ditahan selepas disahkan memandu dengan paras alkohol tinggi dalam operasi yang dijalankan di Jalan Bundusan, malam tadi.
Dalam operasi yang berakhir jam 3 pagi itu, polis turut mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan yang berjaya dikesan.
Operasi dijalankan hasil kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 80 individu dan kenderaan ditahan untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan, enam individu ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.
“Dalam masa sama, kita turut mengeluarkan sebanyak 24 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Haris berkata, selain itu, pihaknya turut mengesan kesalahan mengubahsuai ekzos kenderaan dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi
Katanya, operasi yang diadakan kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Operasi ini antara lain bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh undang-undang lalu lintas yang ditetapkan,”’katanya.
Tamat






