Ahli sindiket MySejahtera ditahan.

Kota Kinabalu: Seorang ahli sindiket yang dipercayai menjalankan aktiviti rasuah untuk membantu mendapatkan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera tanpa perlu mengambil vaksin ditahan, hari ini.

Menurut sumber, ahli sindiket berusia 31 tahun terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai memberi wang sebanyak RM2,000 kepada sukarelawan yang bertugas di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekitar Oktober lalu.

Katanya, ia sebagai balasan untuk mendaftarkan penama-penama yang tidak menerima suntikan dos vaksin Covid-19 bagi mendapatkan Sijil Digital Vaksinasi di dalam sistem MySejahtera.

“Suspek ditahan kira-kira jam 1.30 petang tadi di pejabat SPRM Kota Kinabalu susulan satu operasi yang dilancarkan di daerah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Permohonan reman dijangka akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu,” katanya.

Tamat