Kota Kinabalu: Kerajaan negeri digesa supaya menangguhkan pengharaman dan cadangan cukai eksport besi buruk selain diminta melakukan kajian keberkesanan terhadap perkara itu.
Presiden Pertubuhan Kitar Semula Logam Sabah (SSMRA), Edwin Chen mendakwa bahawa dasar yang dilaksanakan itu ternyata tidak adil kepada semua pemain industri berkenaan.
Katanya, sebagai pengedar dan pengumpul besi sekerap, mereka kini berada di bawah naungan kerajaan dan pihak berkepentingan.
“Sudah hampir tujuh bulan sejak pengharaman dan cukai diumumkan namun ia tidak mewujudkan kesan seperti yang kehendaki kerajaan.
“Malah banyak bukti yang menunjukkan pengharaman eksport besi buruk tidak memenuhi tujuannya untuk menurunkan harga besi keluli,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Edwin berkata, timbunan stok besi buruk yang banyak juga menunjukkan kilang keluli tempatan tidak pernah menghadapi masalah kekurangan bahan mentah kerana ia tidak dapat menyerap semua besi buruk keluaran tempatan.
“Ia juga membawa kepada manipulasi harga yang tidak sihat dalam pasaran besi buruk oleh kilang keluli,” katanya.
Sehubungan itu, Edwin berkata, pihaknya berharap, kerajaan dapat menangguhkan perkara itu dan sekali gus memberi kelegaan kepada peniaga sekerap tempatan.
Katanya, kebanyakan mereka kini terpaksa menanggung beban kerana menyimpan stok yang banyak di kilang masing-masing.
“Stok semasa yang disimpan ahli-ahli kami dianggarkan mencecah 40,000 tan dan banyak ahli kini mengalami kekurangan wang tunai untuk kitaran perniagaan.
“Sekiranya berterusan, mungkin selepas ini ramai yang terpaksa berhenti membeli besi buruk daripada pasaran.
“Ini pasti akan menimbulkan huru hara dalam industri kami. Semua peniaga dan pengutip besi buruk perlu mengumpul sejumlah besi buruk untuk bertahan dan pulangan modal setiap bulan,” katanya.
Edwin berkata, ramai peniaga serta pengutip besi buruk tidak akan lagi dapat mencari rezeki dan menghentikan operasi.
“Kami merayu kepada kerajaan negeri supaya berlaku adil dan mempertimbangkan kebajikan dan manfaat semua pemain industri ini,” katanya.
Tamat






