Kota Kinabalu: Pengguna diminta tidak panik dan bertindak membuat pembelian berlebihan ekoran masalah kekurangan bekalan ayam dan telur yang melanda seluruh negara termasuk Sabah.
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, bekalan ayam dan telur ketika ini masih berada pada tahap mencukupi khususnya untuk keperluan harian pengguna dan peniaga.
Katanya, hasil pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), persatuan pengguna diberi jaminan bekalan masih stabil dan sepatutnya mencukupi.
“Meskipun bekalan ayam dan telur berkurangan sekitar 10 hingga 20 peratus, namun penternak dan pemborong memberi jaminan bahawa bahan asas itu masih mencukupi untuk keperluan penduduk Sabah.
“Tambahan pula, Sabah mempunyai alternatif bekalan makanan laut yang banyak, harga agak berpatutan dan mudah didapati untuk dijadikan lauk harian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, apa yang penting ketika ini pihak berkuasa perlu sentiasa membuat pemantauan serta pemeriksaan supaya tiada pihak yang menyorok bekalan ayam dan telur atau menaikkan harga sesuka hati.
Sehubungan itu, David meminta orang ramai memberikan kerjasama dengan melapor kepada pihak berkuasa khususnya KPDNHEP sekiranya ada pasar raya atau peniaga melanggar undang-undang termasuk menjual melebihi harga kawalan ditetapkan
“Terdapat sembilan cara untuk orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk melalui WhatsApp. Cuma rakam gambar barangan dan harga dan terus hantar kepada pihak KPDNHEP,” katanya.
Sementara itu, David berkata, pihak persatuan juga berharap agensi penguatkuasa yang lain seperti Polis Marin, APMM dan sebagainya terus mengawal ketat cubaan menyeludup barangan keperluan dan bersubsidi terutama di sekitar perairan Sabah.
“Kita harap pihak bertanggungjawab mengetatkan kawalan supaya bekalan keperluan bagi rakyat Sabah khususnya barangan bersubsidi tidak seludup keluar bagi memastikan keperluan rakyat Sabah mencukupi.
“Orang ramai boleh membantu KPDNHEP Sabah dengan melaporkan setiap kesalahan dengan menggunakan nombor talian 088-484368 (KPDNHEP Kota Kinabalu), Whatsapp 019-2794317 (Aduan Pengguna) atau email e-aduan@kpdnhep.gov.my,” katanya.
Tamat




