
Kota Belud: Misi Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Maximus Ongkili mengetuai rombongan mencari dan mengkaji rujukan berkaitan hak negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di London tidak lebih kepada sekadar menutup kegagalan menunaikan janji kepada rakyat Sabah sebelum ini.
Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud Carlye Lajimin berkata, rakyat Sabah akan sentiasa mengingati janji yang ditaburkan pada 13 Mac 2020.
Katanya, ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri terbabit sangat optimis bahawa beliau akan dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan MA63 dalam tempoh enam bulan.
“Rakyat Sabah menaruh harapan dengan janji manis ini namun hampa sehingga kini tiada berita atau kemas kini maklumat sejauh mana usaha penyelesaian isu berkaitan MA63.
“Tiba-tiba beliau menyatakan akan mengetuai rombongan ke London untuk membuat kajian. Pada saya, ini hanya tindakan terdesak menjelang PRU15,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan Dr Maximus yang akan mengetuai pasukan pakar undang-undang, penyelidik dan pegawai berlepas ke London untuk untuk tujuan itu, 19 Jun depan.
Carlye berkata, beliau berharap rakyat Sabah khususnya tidak terpedaya dengan taktik politik seumpama ini.
Katanya, ia lebih kepada sekadar memancing undi menjelang PRU15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
“Walaupun usaha untuk menyesaikan isu berkaitan MA63 amat dialu-alukan, namun selepas sekian lama dijanjikan dengan kajian yang tidak berpenghujung, kini tiba masanya rakyat Sabah menuntut ketelusan mengenai usaha itu.
“Apa perkembangan tindakan yang dilakukan sebelum ini? Sarawak sudah pernah ke London untuk membuat kajian, ada usaha pihak Dr. Maximus untuk konsultasi dengan Sarawak mengenai perkara ini?
“Kenapa perlu membazir dana awam ke London jika maklumat yang dicari boleh didapati dari rombongan Sarawak yang membuat kajian sama?
“Apa sebenarnya yang dikaji? Jangan cakap hak Sabah sahaja, nyatakan secara terperinci apa hak tersebut dan di mana kedudukannya dalam mukasurat MA63,” katanya.
Carlye berkata, rakyat berhak untuk tahu memandangkan perbelanjaan perjalanan ke London dibiayai oleh dana awam dan bukannya murah.
Tamat






