Timbang rasa kepada pengguna jalanraya lain.

Polis trafik sedang mengeluarkan saman terhadap lori yang diletakkan tepi Jalan Lintas Labuk, di sini.

Sandakan: Pemandu lori di daerah ini dinasihatikan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalulintas agar terhindar dari perkara yang tidak diingini termasuk kemalangan jalanraya.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung berkata, sikap pemandu lori meletakkan kenderaan di tepi Jalan Lintas Labuk, Batu 8, di sini, amat membahayakan.

Katanya, selain keselamatan pengguna jalan raya lain, tindakan itu juga merosakkan keadaan bahu jalan di jalan berkenaan.

“Kebanyakan pemandu suka meletakkan kenderaan berat mereka di tepi jalan sepanjang laluan ini.

“Sikap tidak bertimbang rasa pemandu lori ini jelas boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalanraya lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan polis trafik menyaman lori yang diletakkan di tepi berkenaan.

Chin berkata, semua pemandu lori terbabit juga digesa supaya memberi kerjasama kepada pihak penguatkuasa lalulintas dengan meletakkan  kenderaan di depot kenderaan berat sedia ada yang terletak berhampiran Jalan Fook Kim.

Katanya, beliau juga tidak menolak kemungkinan permit kenderaan berat yang disaman akan digantung oleh LPKP sekiranya kesalahan itu berulang.

Sehubungan itu, Chin meminta pemandu kenderaan berat supaya bertimbang rasa dan mematuhi undang-undang lalulintas.

Tamat